Di Kyoto, sebagai pemanas badan, saya dan Sensei Zizi pergi hiking di trail Takao-Arashiyama yang jauhnya sekitar 10km. Sensei Zizi ialah guru Aikido saya sewaktu belajar di Universiti dulu. Sekarang Beliau menetap di Kyoto selama 3 tahun. Beliau banyak mengajarkan saya seni beladiri Aikido dan hubungkaitnya dengan agama dan kehidupan. Mari lihat gambar sekitar Takao-Arashiyama trail ketika musim bunga.
Pada 8 Mei pula saya singgah di Matsumoto sebelum berkemah di Kamikouchi Alps. Di Matsumoto saya melawat Istana Matsumoto untuk melihat keunikan senibina Istana Jepun.
Saya gerak ke Kamikouchi Alps keesokan harinya seawal 8 pagi. Selepas mengucapkan "Arigatougozaimashita" dan "Itte kimasu" kepada Isao-san dan Takae-san, saya ke stesen tren Matsumoto, menaiki tren selama 30 minit dan bas selama sejam untuk sampai ke Kamikouchi. Setibanya saya di sana, terus saya ke tapak perkemahan yang tidak jauh dari stesen bas, lebih kurang 5 minit berjalan kaki. Setelah selesai memasang kemah, saya galas backpack kecil untuk pergi hiking di trail menghala ke Tokusawa dan patah balik ke tapak kemah. Jaraknya 6km lebih sehala, memakan masa lebih kurang 2 jam lebih. Cuaca pada hari tersebut hujan renyai sepanjang hari. Di waktu malam juga hujan berpanjangan sehingga saya terpaksa masak di dalam kemah. Syukur kemah yang saya pakai tahan lasak dan tahan hujan sejuk. Keadaan dalam kemah kekal kering walaupun agak sejuk semalaman. Pemandangan yang memukau sepanjang trail membuat siapa sahaja yang melaluinya kaku. Puncak gunung putih bersalji, alir sungai lembah yang hijau jernih dan hutan pine misteri pasti menyentuh hati setiap hikers akan kewujudan sang Pencipta.
Alang-alang ada JR pass, saya membuat keputusan untuk ke Tokyo menaiki tren rapid dan shinkansen. Di Tokyo saya menginap di rumah sahabat Jepun Islam bernama Habib Marimo yang saya kenal sejak di Universiti dahulu. Apabila tiba di Tokyo, baru saya sedar Kyoto lebih saya suka kerana di Tokyo terlalu ramai manusia. Saya tidak mengambil peluang untuk ke tempat-tempat peranginan, tapi saya tak lepaskan peluang untuk ke Masjid Tokyo kerana apabila berada di Jepun, perkara yang paling dirindui bagi seorang muslim ialah laungan azan dan masjid. Di sana sempat saya berjumpa dengan pendakwah terkenal di Masjid Tokyo, Shigeru Shimoyama.
Dua malam di Tokyo, kemudian saya kembali ke Kyoto untuk menghabiskan masa berehat dan berguru. Di Kyoto saya mengajak Sensei Zizi hiking santai di Kayabuki no Sato (perkampungan rumah beratap jerami) yang terletak di Miyama, jauh di pedalaman Kyoto. Masa perjalanan menaiki tren dan bas ialah sejam setengah. Di perkampungan ini, terdapat banyak rumah petani yang beratap jerami yang dipelihara sejak zaman dahulu lagi. Rumah-rumah ini masih didiami, dijadikan guesthouse untuk pelancong dan kedai kopi. Antara nikmat ketika berada di perkampungan Jepun, jangan lepaskan peluang singgah minum kopi di cafe-cafe comel dengan rekabentuk yang unik. Sekadar duduk minum kopi sahaja sudah cukup untuk memberi kenangan indah kepada pengembara. Saya dan Sensei Zizi singgah di sebuah cafe untuk minum kopi dan makan puding. Nikmatnya hanya yang datang ke situ saja tahu. Berhampiran dengan perkampungan ini terdapat trail hiking santai sangat tenang di temani bendang, hutan pine, alir sungai dan siul burung. Terdapat juga tapak perkemahan dalam jarak 25 minit berjalan kaki.
Dengan ini saya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai Nature Backpacking Trip pada 16-25 Oktober 2016 nanti. Tempat adalah terhad. Kembara ini ialah non-smoking trip. Bagi yang berminat silakan hubungi saya di 0125666245. Terimakasih kerana sudi singgah.
Setinggi perhargaan buat:
Sensei Zizi
Kak Nurul
Maryam
Habib Marimo-san
Kenji-san
Isao-san & Takae-san
Keisuke Kinoshita-san (TNF Kyoto)
How much its cost for this nature trips.. wuhuu.. so fascinating environment.. tengok gambar pun dah feel like i was there too.. hee
ReplyDelete